PENDEKATAN PENILAIAN PROGRAM : SUATU KAEDAH

PENDEKATAN PENILAIAN PROGRAM : SUATU KAEDAH

PELAKSANAAN

OLEH :

MOHAMAD AQSA BIN HAJI HUSSIN

JABATAN ILMU PENDIDIKAN

IPG KAMPUS ILMU KHAS

  1. 1.      PENGENALAN

 

Penyelidikan penilaian atau evaluation research merupakan proses yang sistematik bagi mengumpul dan menganalisis data-data untuk tujuan membuat keputusan sama ada sesuatu program  berkaitan yang sedang dilaksanakan, atau yang telah selesai dijalankan memberi kesan yang menguntungkan atau sebaliknya. Merujuk kepada takrifannya dalam bidang pendidikan adalah bertaut rapat dengan program pendidikan itu sendiri dan seterusnya dengan output dan outcome pendidikan khususnya pengajaran dan pembelajaran murid-murid  dan para pelajar.

Penyelidikan penilaian yang mulanya diperkenalkan pada tahun 1930an kini semakin bertambah penting dalam masa 30 puluh tahun kebelakangan ini. Penyelidikan mempunyai peranan yang spesifik seperti berikut :

  1. Menyediakan maklum balas kepada proses perancangan program pada khususnya  yang berkaitan dengan matlamat program dan impak atau kesan kepada sesuatu program.
  2. Mengesani tahap efficiency sesuatu program atau keberkesanan dalam penggunaan sumber-sumber dan status matlamat pelaksanaan program tersebut dengan membandingkan dengan matlamat serta objektif pelaksanaan yang disasarkan.
  3. Membina suatu proses perancangan yang tetap dan berterusan, iaitu dengan membekalkan maklumat-maklumat mengenai kekangan atau batasan-batasan kajian dan faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian matlamat atau objektif sesuatu program tersebut.
  4. Mengenalpasti tahap boleh guna (usable) sesuatu program dan penerimaan oleh pihak klien

2.  Kaedah Pelaksanaan Penilaian Program

Pada masa kini terdapat kekurangan mengenai cara-cara atau langkah-langkah yang jelas dan ketara dalam penilaian program. Pendekatan yang lebih sistematik akan dapat membantu sedikit sebanyak mengatasi masalah ini. Penilaian program , dalam erti kata yang lebih mudah ialah pemeriksaan secara sistematik dan jelas terhadap alternatif-alternatif  untuk mencapai matlamat-matlamat dan objektif-objektif yang hendak dicapai bagi sesuatu program.

Proses-proses itu melibatkan langkah-langkah seperti menganggarkan kos-kos, keberkesan program, impak-impak lain yang signifikan dan sebagainya.

Terdapat beberapa langkah cadangan untuk menjalankan penilaian program iaitu seperti berikut :

  1. Menentukan dan memilih program yang hendak dikaji atau untuk dinilai.
  2. Menentukan Objektif atau Matlamat Penilaian Program tersebut.
  3. Menentukan Kriteria Penilaian Program yang hendak dibuat.
  4. Memilih Kaedah dan Sampel, cara mengumpul maklumat dan data yang diingini.
  5. Memproses data yang diperolehi.
  6. Membuat laporan keputusan serta cadangan susulan.

2.1. Menentukan dan memilih program yang hendak dikaji atau dinilai.

Terdapat dua  keadaan dalam memilih dan menentukan program yang hendak dikaji atau dinilai. Pertama, penilai program diminta untuk menilai sesuatu program oleh pihak yang berkaitan atau tertentu. Kedua, penilai itu sendiri memilih atau menentukan program yang hendak dinilai atau dikaji bagi memenuhi tujuan-tujuan tertentu. Namun begitu tidak kiralah apa sahaja caranya, sebagai penilai program harus bijak memilih dan menentukan program yang hendak.

Penilaian program bermula dengan suatu masalah tertentu dengan mendefinisikan masalah dan ruang lingkupnya. Seseorang penilai program seharusnya bertanggungjawab terhadap sesuatu masalah atau isu yang telah dipilih  atau ditentukan. Penilai program juga harus berusaha untuk mengenalpasti masalah sebenar  iaitu mungkin menjadi pokok asas kepada sesuatu isu tertentu yang terdapat di dalam program yang berkaitan. Penilai program harus memberikan tumpuan dalam membuat penilaian terdapat sesuatu isu yang terdapat di dalam  program kerana  sesuatu isu atau masalah itu barangkali sukar untuk dikenalpasti, kabur, tidak lengkap dan mengelirukan.

Penilaian program ini juga harus melihat dari aspek keberkesanan program sama ada berjaya atau  sebaliknya, disamping itu juga adakah ianya memerlukan penambahbaikan atau menamatkan program tersebut. Salah satu masalah yang sering dihadapi oleh penilai program ialah skop sesuatu penilaian program tertentu. Patutkah ianya berfokus atas aspek yang sempit sesuatu masalah atau patutkah ianya meliputi pelbagai dimensi yang terluas. Skop-skop ini ditentukan oleh faktor-faktor tertentu seperti sumber-sumber dan masa untuk memperolehinya, jumlah maklumat yang ada yang boleh diperkembangkan mengikut jadual dan juga kepentingan-kepentingan seta keperluan-keperluan data yang diperlukan. Untuk memastikan penilaian program ini dapat dijalankan dan dilaksanakan dengan lancar dan sempurna maka suatu rangka kerja penilaian perlu disediakan dengan menggunakan Carta Gann.

 

TUGAS                                                    MINGGU / BULAN

                                                                                      1          2          3          4          5

Perancangan Penilaian                                                X

Rekabentuk Penilaian                                                 X         X

Proses Dapat Kelulusan                                              X         X

Pengumpulan Data                                                                  X           X

Analisis Data                                                                                           X         X

Draf Laporan                                                                                                      X

Laporan Akhir                                                                                                             X

Jadual  1 : Carta Gant

Terdapat beberapa kriteria memilih isu-isu  penilaian yang harus dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum memilih program yang hendak dinilai antaranya :

  1. Adakah terdapat suatu keputusan yang dibuat oleh kerajaan ?. Bolehkah penilaian itu secara signifikannya dapat mengubah keputusan yang telah dibuat?.

Keputusan kerajaan yang melibatkan dasar-dasar kerajaan mungkin sukar untuk diubah suai, adalah diharapkan dengan adanya penilaian program ini dapat mengubah dasar-dasar kerajaan terhadap keputusan yang ditelah dibuat. Jika tidak maka penilaian ini akan menyebabkan pembaziran dari segi wang, usaha, masa dan sebagainya. Oleh itu penilai harus bijak memilih program yang hendak dinilai.

  1. Adakah isu penilaian ini melibatkan kos yang besar atau tinggi?.

Isu yang melibatkan perbelanjaan yang besar dan mungkin memberikan kesan yang besar dan hendaklah diberikan tumpuan yang lebih oleh penilai supaya memberikan pulangan yang sewajarnya.

  1. Adakah terdapat ruang yang banyak untuk memperbaiki prestasi program tersebut?.

Jika sesuatu program itu sangat penting tetapi mempunyai sedikit ruang untuk diperbaikinya, maka penilaian program itu tidak begitu penting. Program yang mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki dan ianya akan menjadi begitu penting serta dapat memberikan suatu hasilan atau kesan penilaian yang lebih tinggi.

  1. Bolehkah masalah atau isu itu diselesaikan oleh penilaian program ?.

Persoalannya di sini ialah dapatkan ianya dinilai  atau terlalu sukar untuk dinilai. Penilai program perlu memastikan sama ada isu atau masalah yang terdapat di dalam program itu dapat diselesaikan atau akan menghadapi banyak halangan untuk menyelesaikannya.

  1. Adakah mempunyai masa yang mencukupi atau memerlukan masa yang terlalu lama  untuk membuat penilaian program  tersebut ?.

Penilaian program yang terlalu lama untuk disiapkan atau disiapkan selepas keputusan dasar telah dibuat mungkin tidak bernilai lagi. Oleh itu penilai perlu merangka dan menjangkakan tempoh masa yang diperlukan untuk menyediakan laporan penilaian tepat pada masa yang diperlukan. Penilaian hendak dijadualkan untuk memberi masa kepada pembuat keputusan dan dapatan-dapatan muktamad untuk dikaji semula dan dinilai sebelum keputusan muktamad dibuat.

2.2. Menentukan Objektif Penilaian Program Dan Kriteria Penilaian.

Istilah-istilah seperti “objektif” dan “matlamat “ adalah merujuk kepada tujuan-tujuan sesuatu program yang dijalankan. Sesuatu objektif atau matlamat boleh menjadi satu hasil yang diingini harus dimaksimumkan dan begitu juga sebaliknya. Kriteria penilaian atau pengukuran keberkesanan pula adalah kriteria yang menunjukkan setakat mana program itu sedang mencapai objektifnya. Beberapa saranan untuk menentukan objektif dan kriteria penilaian program adalah seperti berikut :

2.2.1        Objektif atau matlamat penilaian program.

Objektif atau matlamat penilaian program boleh ditentukan sama ada oleh penilai program itu sendiri atau pihak klien iaitu pihak penaja penilaian program tersebut menentukan objektif tertentu untuk  memenuhi kehendak klien.

2.2.2.      Mengenalpasti objektif dan kriteria penilaian yang berorientasikan manusia.

Objektif dan kriteria penilaian yang berkaitan dengan haruslah mencerminkan kesan ke  atas warga dan komuniti masyarakat. Kriteria penilaian juga haruslah membantu mencerakinkan persoalan itu. Objektif dan kriteria penilaian itu juga haruslah meliputi keadaan warga masyarakat iaitu sesuatu program yang direkakan untuk memelihara, mencapai atau mengubah sesuatu yang diinginkan oleh program tersebut. Sebagai contoh, kriteria itu seharusnya dapat mengukur baik atau tidak sesuatu program itu memenuhi objektif-objektif program seperti meningkatkan taraf kesihatan dan keselamatan atau mutu kehidupan warga masyarakat dan sebagainya.

2.2.2.1. Ciri-ciri Ukuran Penilaian Yang Dicadangkan.

a)      Sejauhmanakah perkhidmatan itu memenuhi tujuan yang dihajati, seperti memperbaiki taraf kesihatan, mengurangkan jenayah atau meningkatkan perkhidmatan.

b)      Sejauhmanakah program itu mempunyai kesan buruk atau faedah yang tidak diingini ?. Contoh ; adakah suatu industri baru akan menambahkan lagi pencemaran air dan udara atau menyebabkan ketidakselesaan kepada warga masyarakat.

c)      Adakah kuantiti perkhidmatan yang dibekalkan itu mencukupi bagi memenuhi keperluan warga kota?.

d)     Bagaimanakah program itu bertindak balas terhadap permintaan untuk perkhidmatan ?.

e)      Adakah pengguna program diberikan layanan perkhidmatan yang baik dan memuaskan?.

f)       Bagaimana program perkhidmatan itu mudah didapati atau diperolehi oleh penggunanya ?.

g)      Berapa banyakkah kos yang diperlukan ?.

2.2.3.      Objektif penilaian harus memperlihatkan hasil atau kesan dari pelaksanaan program.

Objektif penilaian program itu hendak menunjukkan kesan daripada pelaksanaan program sama ada kesan yang baik ataupun kesan disebaliknya. Ini adalah bertujuan untuk membuat pelaporan bagi tujuan penambahbaikan atau untuk ditamatkan program tersebut. Objektif  penilaian program harus jelas dan memenuhi kehendak-kehendak penilaian program. Objektif penilaian biasanya dinyatakan sebagai kesan-kesan yang berfaedah sahaja iaitu yang dihajati atau diingini sedangkan terdapat kebanyakan program juga mempunyai kesan-kesan samping ataupun negatif. Tiap-tiap alternatif program harus diperiksa untuk menilai kemungkinan kesan-kesan sampingan bukan sahaja yang berfaedah tetapi juga yang memudaratkan. Pertimbangan terhadap kesan-kesan yang negatif akan membantu meletakkan nilai keseluruhan sesuatu program  ke perspektif yang sesuai selain menolong merekabentuk program bagi mengurangkan kesan-kesan negatif.

2.2.4.      Pertimbangkan lebih dari satu objektif dan kriteria penilaian.

Kebanyakan program mempunyai beberapa tujuan atau objektif dan sesetengah darinya mungkin saling bergantungan atau bertentangan. Suatu objektif yang tunggal jarang sekali memerihalkan keseluruhan kesan program sepenuhnya. Contoh :

Objektif Dan     Penilaian Program Kanak-kanak Terbiar

Objektif-Objektif     Program

  1.     Objektif A – Kurangkan bilangan kanak-kanak terbiar     yang difailkan dengan memeriksa kes-kes secara teliti.
  2.     Objektif B – Menjaga kanak-kanak di rumah atau     suatu persekitaran yang sesuai apabila penjagaan jangka panjang     dikehendaki.
  3.     Objektif C – Tempatkan semua kanak-kanak dalam     persekitaran yang mereka dapat menyesuaikan diri supaya tidak menjadi     terbiar lagi.
  4.     Objektif D – Kelolakan program dengan cekap supaya     dapat meminimumkan kos bagi mencapai semua objektif yang telah ditetapkan     sebelum program dijalankan

Kriteria Penilaian Program

  1.     Objektif A
    1.     Bilangan kanak-kanak terbiar yang difailkan
    2.     Bilangan kes-kes yang diperiksa atau disemak
  2.     Objektif B
    1.     Bilangan dan peratus penempatan kanak-kanak     sebagaimana yang ditentukan oleh pendapat profesional.
  3.     Objektif C
    1.     Bilangan dan peratus penempatan kanak-kanak     mengikut penyesuaian mereka.
    2.     Bilangan dan peratus kanak-kanak dipindah dari satu     penempatan ke satu penempatan yang lain.
  4.     Objektif D
    1.     Jumlah kos sistem program tersebut
    2.     Kos setiap     kanak-kanak bagi taip-tiap proses pelaksanaan program.

2.2.5.      Jangan Menolak Kriteria-kriteria Penilaian Jika Menghadapi Kesukaran Dalam Membuat Penilaian.

Kriteria penilaian seharusnya dikenalpasti tanpa keberatan atau kebimbangan awal iaitu dalam hal bagaimana atau adakah ia dapat dinilai. Terdapat beberapa cara umum untuk menilai sebahagian dari kriteria yang subjektif dan kriteria yang kualitatif, antaranya melalui anggaran-anggaran yang berasaskan kepada penilaian yang dibuat oleh pakar-pakar atau tinjauan-tinjauan sistematik yang telah dibuat.

2.3.      Kaedah , Sampel Dan Cara Mengumpul Serta Memproses Maklumat Dan Data.

 

Terdapat pelbagai cara  dan kaedah untuk memperolehi data atau maklumat yang diingini oleh pihak penilai program. Antara kaedah yang sering digunakan   untuk mendapatkan atau memperolehi data iaitu seperti soal selidik, temu bual, tinjauan dan sebagainya. Walau bagaimanapun terpulanglah kepada pihak penilai program untuk menggunakan kaedah yang difikirkan perlu dan sesuai digunakan bergantung kepada masalah atau isu yang telah dipilih berdasarkan kepada objektif yang hendak dicapai.

Seterusnya ciri-ciri sampel yang diperlukan juga harus diberikan perhatian dan akan menyumbang kepada pencapaian objektif yang telah ditentukan bergantung kepada isu atau masalah program yang telah dipilih. Antara ciri-ciri sampel yang harus diberikan tumpuan penting dan dicadangkan adalah seperti berikut :

  1. Lokasi sampel.

Penilaian program yang hendak dijalankan hendaklah mengambil data-data atau maklumat di tempat atau lokasi yang bersesuaian dengan masalah program tersebut. Sekiranya, program itu dijalankan di suatu tempat tertentu maka data yang diperlukan seharusnya diperolehi dari di tempat tersebut. Sebagai satu contoh, program meningkatkan taraf jalan raya , maka data atau maklumat itu mestilah datang dari warga masyarakat tempat tersebut untuk mendapat maklum balas dari program tersebut.

  1. Jantina

Sampel dari jantina yang berlainan juga harus diambil mengikut kesesuaian objektif atau tujuan penilaian program tertentu. Jika ianya melibatkan program kesihatan anak dalam kandungan ibu mengandung, maka sampel yang diharapkan tentulah dari wanita-wanita yang sedang mengandung.

  1. Kumpulan Umur

Bagi program-program yang melibatkan orang dewasa seperti program kesedaran pemanduan berhemat, maka sudah tentu sampel-sampel harus dikumpul dari kumpulan umur orang dewasa atau kumpulan umur yang layak memperolehi lesen memandu.

  1. Pendapatan keluarga

Pendapatan keluarga juga harus diberikan tumpuan jika ianya melibatkan program seperti Program Bantuan Rakyat Termiskin maka sampel-sampel hendaklah dikumpul  dari segi pendapatan keluarga yang diperolehi.  Data-data yang diperolehi dari sampel yang diambil hendaklah bersesuaian dengan objektif penilaian program itu tadi.

  1. Status / Jenis pekerjaan

Status atau jenis pekerjaan juga perlu diberikan perhatian jika ianya melibatkan program-program membasmi kemiskinan umpamanya. Jika seseorang itu mempunyai status atau jenis pekerjaan yang baik dan memperolehi pendapatan yang tinggi maka sudah pasti tidak dipilih sebagai sampel untuk memunggut data.

  1. Saiz keluarga

Program Perancangan Keluarga harus menitik beratkan mengenai saiz keluarga dan juga bilangan ahli keluarga. Sampel dan data yang hendak dikumpul sepatutnya mementingkan saiz atau bilangan ahli keluarga supaya matlamat program itu dapat dicapai.

  1. Pengguna kemudahan-kemudahan perkhidmatan

Sesuatu program yang menyediakan kemudahan-kemudahan perkhidmatan sepatutnya mengambil sampel-sampel dari pengguna yang menggunakan kemudahan-kemudahan perkhidmatan tersebut. Diharapkan dengan data yang diperolehi dari sampel tersebut maka penilaian program dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna serta memberi keputusan yang baik dan memuaskan.

2.3.1.       Adakah data yang ada mencukupi dan perlu dikumpulkan dalam jangka masa tertentu ?.

Kebanyakan data-data yang telah sedia ada telah direkabentuk bagi memenuhi tujuan-tujuan pentadbiran, pengurusan dan tujuan-tujuan lain. Setengah-setengah data telah dikumpul terlebih dahulu adalah bertujuan untuk mengukur dan menyampaikan keberkesan program tersebut dan tidak sesuai untuk menilai program. Penilai harus memikirkan bagaimana sesuatu data yang diingini dapat diperolehi sama ada dari sumber yang lama atau sumber-sumber yang baru. Penilai program juga harus memikirkan adakah data itu mudah diperolehi atau sukar untuk diperolehi dan juga kos yang diperlukan.

2.4.      Laporan Keputusan Dan Cadangan.

Jika dapatan-dapatan dan implikasi-implikasi yang khusus dari sesuatu penilaian program itu tidak difahami, maka dapatan-dapatan hasil dari penilaian program itu tidak dapat digunakan untuk membantu membuat keputusan-keputusan penting terhadap program yang telah dinilai.  Penilaian program yang dijalankan dengan baik pun tidak akan diendahkan jika laporan yang disediakan tidak teratur dan padat dengan laporan yang lengkap. Penilai program seharusnya secara jelas dan teratur dalam menyampaikan laporan hasil dapatan-dapatan yang diperolehi kepada pihak yang meminta penilaian program dibuat dengan memenuhi kehendak  mereka.

Laporan penilaian yang dibuat hendaklah mengikut atau memenuhi kehendak pihak yang berkenaan iaitu cara bagaimana laporan itu seharusnya disediakan. Sesetengah pihak pembuat keputusan lebih gemar laporan-laporan dibuat secara lisan tetapi ini jarang-jarang berlaku. Kebanyakan pembuat keputusan atau klien lebih suka laporan penilaian dibuat secara bertulis. Laporan-laporan yang dibuat sebaiknya cuba mengelakkan dari hujah-hujah yang terlalu meleret-leret dan tidak penting, jadual-jadual yang terlalu  banyak dan formula-formula yang sukar difahami. Tugas penilai program ialah untuk menyampaikan dapatan-dapatan hasil penilaian di dalam laporan dengan cara yang mudah difahami  dan dengan bahasa yang mudah serta gaya yang padat dan teratur. Laporan itu juga boleh membuatkan sesuatu penilaian itu menjadi lebih bermakna dan berkesan.

Terdapat beberapa garis panduan yang boleh digunakan untuk menyediakan suatu laporan yang dapat difahami dan berkesan iaitu :

2.4.1.      Sebelum dan semasa membuat laporan

Sebelum membuat laporan , penilai program perlu membuat semakan draf laporan dan draf laporan ini boleh diberikan kepada ahli-ahli dalam bidang penilaian program. Penilai program  mungkin telah tertinggal perkara-perkara penting, kesilapan-kesilapan yang tidak diduga, interpretasi-interpretasi yang salah mengenai data-data yang dikumpul, kaedah-kaedah yang tersilap telah digunakan, logik yang salah atau kesimpulan dan rumusan yang salah dan tidak berasas sama sekali. Semakan ini akan membawa beberapa pendebatan  atau kontroversi  yang penting dan ini dapat serta boleh diperjelaskan lagi dengan lebih terperinci oleh penilai program. Adalah lebih baik jika perbincangan ini diadakan dengan lebih kerap supaya laporan yang dihasilkan akan lebih jelas, padat dan menyakinkan kepada pihak pembuat keputusan atau klien.

2.4.2.      Menyampaikan dapatan-dapatan dalam bentuk tulisan

Laporan yang telah siap disemak hendaklah disediakan dalam bentuk tulisan dan juga bentuk yang dikehendaki oleh pihak klien. Dengan adanya laporan dalam bentuk tulisan akan dapat mengurangkan kemungkinan berlakunya salah faham terhadap data-data atau maklumat-maklumat yang disampaikan secara lisan di dalam taklimat yang dikehendaki oleh pihak klien. Laporan ini juga dapat digunakan sebagai penilaian lanjutan jika dikendaki  bagi memastikan kebenaran laporan atau memantapkan lagi laporan jika perlu.

2.4.3.      Menyampaikan suatu laporan yang padat dan jelas.

Butiran-butiran teknik sesuatu penilaian mungkin menggembirakan atau membanggakan bagi seseorang penilai program tetapi mungkin membosankan kepada pihak yang menerima laporan penilaian. Butiran-butiran itu hendaklah dimasukkan ke dalam kandungan sesuatu laporan atau di dalam lampiran. Butiran-butiran yang tidak penting tidak seharusnya dimasukkan ke dalam kandungan sesuatu laporan.

2.4.4.      Batasan-batasan dan andaian-andaian sesuatu kajian.

Sesuatu batasan-batasan penilaian hendaklah dinyatakan dengan jelas. Laporan penilaian hendaklah dibuat secara objektif, penyampaian laporan itu haruslah meliputi dari segala aspek yang dikehendaki termasuklah kesan yang baik atau sebaliknya.

2.4.5.      Gunakan grafik yang mudah difahami.

Grafik yang digunakan dalam membuat laporan penilaian program hendak mudah difahami bukan sukar difahami. Suatu grafik yang baik akan membawa atau bernilai beribu patah perkataan jika tidak ianya tidak akan bernilai sedikit pun. Grafik yang menarik akan dapat memberikan kesan yang lebih baik atau menarik perhatian klien untuk membaca laporan penilaian itu sehingga selesai .

2.4.6.      Gunakan gaya bahasa yang mudah difahami.

Pastikan laporan penilaian yang disediakan menggunakan bahasa dan gaya yang mudah difahami. Tidak perlu sesuatu laporan itu terdapat sesuatu perkataan itu mempunyai makna dan maksud yang berbeza-beza serta berbelit-belit.

2.4.7.      Suaikan laporan kepada pembuat keputusan.

Laporan yang disediakan hendaklah bersesuaian dengan kehendak klien kerana ada yang suka kepada laporan yang berbentuk jadual atau graf dan tidak kurang juga yang sukakan laporan yang lengkap, padat dan ringkas.

2.5.      Kesimpulan.

Penilaian program adalah merupakan kajian yang bersifat formal dan melibatkan analisis yang sistematik terhadap sesuatu program atau aktiviti dengan tujuan untuk memberi gambaran sebenar mengenai pelbagai perkara yang hendak diketahui terutamanya objektif program tersebut tercapai atau tidak. Penilaian program juga adalah sangat penting kerana ia merupakan satu elemen penting yang dapat membantu pihak pembuat keputusan menentukan keberkesanannya dan kecekapan program tersebut. Terdapat pelbagai langkah lain yang boleh digunakan untuk membuat penilaian program bergantung kepada kesesuaian dan matlamat atau objektif penilaian program itu dijalankan. Namun begitu, sebagai penilai program seseorang itu harus bijak memilih atau menentukan sama ada penilaian program itu dapat mencapai objektif penilaian tersebut. Kadang kala beberapa pertimbangan yang harus difikirkan terlebih dahulu  dan mengambil tindakan sewajarnya dalam membuat penilaian supaya hasilan dapatannya tidak mengecewakan pihak-pihak tertentu.

Penilaian program yang baik dapat menyediakan hasilan dapatan tanpa berselindung disebabkan terdapat kesan-kesan yang tidak diingini di dalam sesuatu program. Pertimbangan yang diambil seperti matlamat untuk mencapai objektif penilaian, kos-kos yang akan digunakan dalam penilai program atau semasa penambahbaikan program dan juga laporan lengkap seperti yang dikehendaki akan menjadikan penilaian program itu berjaya .  Penilaian program yang baik akan memudahkan pihak pembuat keputusan atau klien menentukan sama ada program itu memerlukan penambahbaikan ataupun  akan ditamatkan terus.

Rujukan

  1. Blaine R. Worthen. (1973). Educational Evaluation : Theory and Practice. United

State of America : Charles A. Jones Publishing Company.

  1. David Royse.(2001). Program Evaluation An Introduction. Canada : Webcom, Ltd.
  2. John Antony Xavier.(2000). Effective Evaluations : A Practical Guide. Kuala

Lumpur:  Institut Pentadbiran Awam.

  1. Razali Arof.(1996). Penghantar Kurikulum. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan

Pustaka.

  1. www.de.comdis.wisc.edu/user/mchial/Chial/InstDevSite/evalmodels.htm
  2. www.treasury.gov.my/org/bspk/bspk_khidmat_penilaian.htm
Lampiran
Cadangan Format Laporan Penilaian Program
  1. Pendahuluan
  2. Objektif Kajian
  3. Bidang Kajian
  4. Isu-isu Kajian
  5. Skop Kajian Penilaian
  6. Methodologi
  7. Halangan/Batasan Penilaian
  8. Hasil Kajian Dan Rumusan
  9. Syor-syor
  10. Penutup
  11. Lampiran-lampiran
  12. Rujukan
By ebuletinjipik

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s